KUCHING, 16 Nov: Sektor pertanian, penternakan dan perikanan merupakan sektor yang akan diberikan tumpuan Kerajaan Sarawak, kata Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.
Menurut laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak (Ukas), Kerajaan Sarawak, kata Awang Tengah, akan memberikan tumpuan terhadap sektor tersebut untuk menjadikan negeri ini maju.
Katanya, ia juga adalah bagi mengurangkan jurang pembangunan di antara daerah dan wilayah.
“Mengurangkan perbezaan dari segi pendapatan dan meningkatkan pendapatan masyarakat terutama B40 yang banyak yang kehilangan pekerjaan dan perniagaan terjejas,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Agriculture Community Outreach Programme (AGRICOP) dan Peladang Prihatin Sarawak di Kampung Sualai pada Ahad (14 Nov).
Kerajaan juga, katanya, akan menjadikan Sarawak sebagai pengeksport bahan-bahan makanan.
“Selain itu, menarik pelabur daripada dalam dan luar negara untuk membangunkan sektor pertanian kita secara komersial dan membantu masyarakat dalam sektor ini,” katanya.
Dalam pada itu, tambah Awang Tengah, kerajaan juga mahu petani, penternak dan nelayan menggunakan teknologi baru dalam sektor tersebut yang akan dapat meningkatkan hasil dengan mempromosi produk-produk mereka.
Justeru, ujar beliau, kerajaan akan terus berusaha meningkatkan fasiliti perniagaan dan pemprosesan untuk kegunaan rakyat meningkatkan taraf hidup.
Awang Tengah turut menyeru rakyat untuk mengekalkan perpaduan dan memberi sokongan kepada Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang sentiasa berusaha meneruskan agenda pembangunan dan membantu rakyat.
Dalam program tersebut, beliau menyampaikan Skim Perlindungan Takaful Kasih Plus dari Agro Bank dan bantuan peralatan nelayan kepada para penerima. — DayakDaily