Pertandingan Fotografi Sayangi Miri Tahun Baharu Cina 2022 anjuran NSJA masih dibuka

Kelihatan Ting (tengah) bersama presiden NSJA Andy Jong (dua dari kanan) dan wakil ahli semasa kunjungan hormat NSJA di pejabat SUPP cawangan Piasau.

Oleh Brad Rantayy

MIRI, 7 Feb: Menteri Muda Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Datuk Sebastian Ting Chiew Yew menyokong penuh Pertandingan Fotografi Sayangi Miri Tahun Baharu Cina 2022 anjuran Persatuan Wartawan Utara Sarawak (NSJA) dan menggalakkan orang ramai menyertai pertandingan ini.

Pertandingan ini merupakan salah satu aktiviti yang berfaedah dan menarik perhatian untuk membantu memperkenalkan dan mempromosikan Bandar Raya Miri sebagai bandar pelancongan, ujar Ting.


“Ini merupakan kali pertama Persatuan Wartawan Utara Sarawak (NSJA) mengadakan pertandingan Fotografi Sayangi Miri Tahun Baharu Cina 2022 dengan temanya “Sayangi Miri” sempena Tahun Baharu Cina Harimau, supaya pelancong atau orang ramai boleh mengambil gambar hiasan dan suasana perayaan di Bandar Raya Miri mempromosikan pemandangan tempat menarik di Miri,” kata beliau.

Presiden NSJA Andy Jong Wan Joon dan pengerusi pengelola Alan Yong Siaw Chyang baru-baru ini telah mengadakan kunjungan hormat terhadap Ting di pejabat Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) cawangan Piasau.

Pertandingan Fotografi Sayangi Miri Tahun Baharu Cina 2022 terbuka kepada semua lapisan masyarakat untuk menyertai tanpa yuran pendaftaran.

Tarikh akhir penyertaan pada 18 Februari 2022.

Peserta hanya perlu menghantarkan gambar penyertaan melalui e-mel berserta maklumat peribadi termasuk nama penuh, nombor MyKad, nombor telefon bimbit, alamat e-mel dan slogan ke nsja.miri@gmail.com.

Dua kategori akan dipertandingkan iaitu kategori terbuka untuk peserta orang awam dan kategori ahli untuk peserta ahli-ahli NSJA sendiri.

Pihak penganjur akan memuat naik semua penyertaan ke laman Facebook rasmi “NSJA MIRI” untuk undian umum selepas tarikh tutup penghantar penyertaan.

Pengundian penyertaan akan dimulai pada 19 Februari sehingga 28 Februari 2022.

Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh melayari laman Facebook rasmi “NSJA MIRI” untuk keterangan lanjut tentang peraturan pertandingan.

Hadiah Juara:
RM500.00 + Sijil + Hadiah + Beras SHUN RICE

Naib Juara:
RM300.00 + Sijil + Hadiah + Beras SHUN RICE

Tempat Ketiga:
RM200.00 + Sijil + Hadiah + Beras SHUN RICE

Tempat Keempat:
RM150.00 + Sijil + Hadiah + Beras SHUN RICE

Saguhati (x2):
RM50.00 + Sijil + Hadiah + Beras SHUN RICE

Pemenang Like & Share terbanyak:
RM150.00 + Sijil + Hadiah + Beras SHUN RICE

— DayakDaily