‘Persetujuan KM diperlukan sebelum Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Sabah dan Sarawak dipindahkan’

Sharifah Hasidah (tiga dari kanan) bersama ahli Persatuan Masakan Kuih Muih Sarawak memotong kek Hari Ibu bagi merasmikan sambutan itu.

KUCHING, April 21: Penempatan semula Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Sabah dan Sarawak dari Kuching ke Kota Kinabalu perlu mendapat persetujuan dari Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg terlebih dahulu.

Menteri Muda Undang-undang, Hubungan Negeri-Persekutuan dan Pemantauan Projek Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali menegaskan demikian kerana persetujuan dari Ketua Menteri Sarawak terlebih dahulu adalah perlu mengikut undang-undang Perlembagaan Persekutuan.

“Ia (penempatan semula Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Sabah dan Sarawak dari Kuching ke Kota Kinabalu) mesti memerlukan persetujuan Ketua Menteri (dahulu); ini adalah mandatori dibawah Perlembagaan Persekutuan,” katanya selepas merasmikan sambutan Hari Ibu anjuran Persatuan Masakan Kuih Muih Sarawak di sebuah hotel di sini, hari ini.


Beliau mengulas kenyataan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Lintang, See Chee How baru-baru ini yang mahu kerajaan pusat dan kerajaan Sarawak menjelaskan rasional di sebalik keputusan menempatkan semula Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Sabah dan Sarawak di Kuching ke Kota Kinabalu berkuat kuasa Mei 1 ini.

Ini berdasarkan surat rasmi kerajaan pusat bertarikh April 19, 2019 dikeluarkan oleh Mahkamah Persekutuan Malaysia dan ditandatangani oleh Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Datuk Seri Latifah Mohd Tahar.

See juga meragui sama ada kerajaan Sarawak ada dibawa berbincang dan telah memberi persetujuan diperlukan kepada penempatan semula itu.

Syarifah Hasidah berkata beliau tidak mengetahui sama ada Ketua Menteri sebelum ini telah ada dibawa berbincang mengenai perkara itu ataupun perbincangan terbabit dilakukan secara peribadi tetapi menegaskan penempatan semula pejabat terbabit di Sarawak ke tempat lain adalah melanggar undang-undang Perlembagaan Persekutuan sekiranya diteruskan tanpa persetujuan Ketua Menteri terlebih dahulu.

“Kalau Ketua Menteri tidak mahu memberikan persetujuan maka penempatan semula terbabit tidak mengikut perlembagaan dan bertentangan undang-undang,” katanya. — DayakDaily