Persatuan Sepak Takraw Negeri Sarawak ikrar bantu Sarawak muncul juara SUKMA Ke-21

Abdul Karim (tengah) merakamkan kenangan bersama Ismail (kanan) di Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri. Foto: UKAS
Advertisement

KUCHING, 24 April: Persatuan Sepak Takraw Negeri Sarawak (PSS) berikrar akan memberikan yang terbaik untuk membantu Sarawak muncul juara keseluruhan pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) Ke-21 pada 2024.

Menurut laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), Presidennya Datuk Ismail Abang Saufi berkata, PSS akan memastikan acara sepak takraw menyumbang sebanyak mungkin pingat emas yang ditawarkan dalam acara itu nanti.

Katanya, beberapa pendekatan akan dilaksanakan dan diperkasakan dengan fokus utama akan diberikan kepada latihan pendedahan para atlet.

Advertisement

“Hasil post mortem yang kita lakukan pada edisi sebelum ini, kelemahan terhadap pasukan kita adalah kurangnya pendedahan berbanding dengan pasukan di Semenanjung yang banyak menyertai pertandingan di sana malah hingga ke Thailand.

“Malah negeri jiran kita Sabah juga kini semakin meningkat kerana mereka memberi penekanan terhadap pendedahan dengan menghantar atlet mereka berlatih di luar negara.

“Justeru, kita melihat aspek pendedahan sangat penting. Kita akan memberi pendedahan kepada kedua-dua pasukan lelaki dan wanita dengan lokasi latihan kemungkinan diadakan di Semenanjung Malaysia ataupun Thailand,” katanya ketika ditemui semasa menghadiri Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri ke rumah Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah di sini pada Ahad.

Tambah Ismail, latihan pendedahan tersebut mungkin dilaksanakan sebelum SUKMA bermula kelak.

Mengulas lanjut, Ismail berkata skuad takraw Sarawak juga akan dimantapkan dengan pengambilan jurulatih dari Thailand dalam masa terdekat.

Dari segi sasaran pula, beliau meletakkan keyakinan skuad berdua dan berpasukan wanita Sarawak mampu menyumbang pingat emas pada SUKMA tahun depan. — DayakDaily

Advertisement