Persatuan OKU penglihatan mohon pusat urut tradisional dibenarkan beroperasi

Rapelson Richard Hamit

Follow and subscribe to DayakDaily on Telegram for faster news updates.


KUCHING, 7 Ogos: Persatuan Anak Istimewa Sarawak (Perais) memohon agar kerajaan negeri mempertimbangkan pembukaan pusat urut tradisional dengan pematuhan prosedur operasi ‘standard’ (SOP) yang ketat.

Menurut presidennya Rapelson Richard Hamit, ia selari dengan pembukaan pusat salon dan gunting pada Fasa Ketiga Pelan Pemulihan Negara (PPN).

“Ramai orang kurang upaya (OKU) penglihatan hilang punca pendapatan semenjak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada tahun lepas sehingga sekarang.


“Pusat urut tradisional OKU penglihatan di Kuching, Sibu dan Miri bakal gulung tikar sekiranya perkara ini berterusan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Rapelson, pusat urut tradisional patut dikategorikan sebagai kesihatan tradisional dan bukannya hiburan.

Katanya lagi, semua pengamal urut tradisional ini telah mendapat vaksin yang penuh dan seharusnya tiada masalah untuk kerajaan membenarkan pusat ini beroperasi.

Rapelson turut menyeru kepada kerajaan negeri agar Geran Perniagaan Khas secara ‘one-off’ berjumlah RM10,000 melalui Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS) 7.0 turut merangkumi golongan peniaga OKU yang tidak berdaftar dengan SOCSO (Pertubuhan Keselamatan Sosial atau Perkeso).

Kenyataan Rapelson turut disokong Pengerusi Pertubuhan Orang Cacat Penglihatan Malaysia, Cawangan Sarawak Isak Ngau dan Pengerusi Persatuan Insan Istimewa Daro dan Matu (Idam) Antonie Zawie Demit. — DayakDaily