Marin rampas 12,000 liter diesel cuba diseleweng di Bintulu

Anggota penguatkuasa memeriksa lori tangki berkenaan.

BINTULU, 8 Ogos: Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 5 berjaya menghalang cubaan menyeleweng 12,000 liter minyak diesel semalam.

Komandernya ACP Zulfikar Mohd Ghazali berkata sepasukan anggota dari Unit Risikan Marin Bintulu diketuai Inspektor Irwanshah telah menahan sebuah lori tangki di Jalan Bintulu-Miri pada jam 7.30 pagi.

Jelasnya, hasil pemeriksaan mendapati lori tersebut membawa muatan minyak diesel tanpa kebenaran yang sah.


Dedah beliau, hasil siasatan ke atas pemandu lori, lelaki berusia 35 tahun mendapati dia gagal mengemukakan sebarang bukti kebenaran memiliki, menyimpan, membawa barang kawalan khas dari Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

Ekoran itu, minyak diesel serta lori tangki dengan anggaran nilai keseluruhan RM115,800 dirampas untuk siasatan lanjut.

Pemandu lori juga ditahan untuk membantu siasatan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961. — DayakDaily