KUCHING, Dis 18: Persatuan Gereja-Gereja Di Sarawak (ACS) akan mengadakan acara Servis Krismas Bersama Persatuan Gereja-Gereja Di Sarawak 2018 di Christian Ecumenical Worship Centre, Jalan Stampin, di sini, Disember 20 depan bermula jam 7.30 malam.
Setiausaha Agung ACS, Elder Ambrose Linang sehubungan itu menjemput semua penganut Kristian terutama dari bandaraya ini untuk menyertai acara tersebut yang temanya tahun ini ialah Hadiah Sempurna (Luke 2:10) manakala Gereja Anglican sebagai tuan rumah penganjurannya.
“Kami menjangkakan sekurangnya seramai 2,500 penganut Kristian akan menyertai acara servis Krismas ini dan sama seperti bilangan penganut Kristian yang telah menyertai acara ini tahun lepas,” katanya ketika mengadakan sidang media acara itu di Christian Ecumenical Worship Centre, Jalan Stampin, di sini, hari ini.
Ambrose berkata dalam acara itu, Diocesan Bishop Gereja Anglican, The Right Revd, Danald Jute akan berkongsi perkara berkaitan tema “Hadiah Sempurna” dan Pengerusi ACS, Rev Dato Dr Justin Wan akan memimpin sembahyang pembukaan manakala Archbishop Katolik Simon Poh akan memimpin sembahyang penghujung servis.
“Bacaan kitab suci akan disampaikan dalam Bahasa Malaysia, Inggeris, Mandarin, Bidayuh dan Iban. Akan diadakan juga sembahyang bagi perdamaian, keamanan di dunia dan semua bangsa, raja dan pemimpin, yang miskin, yang susah, pelarian, pendatang, keluarga dan sembahyang bagi perpaduan,” katanya.
Katanya acara juga akan ada persembahan koir bergabung yang dipimpin Stanley Maringai dengan koir terbabit akan mempersembahkan lagu-lagu Krismas sepanjang acara berlangsung.
Persatuan itu menjangkakan semua ketua gereja lain akan menyertai acara itu dan ketua kaum kaum, ketua jabatan negeri dan persekutuan beragama Kristian juga telah dijemput pihaknya bagi menyertai acara itu.
“Seperti biasa, wakil dari Kumpulan Antara Agama seperti Budhist, Hindu dan Sikh yang menghadiri acara anjuran kami sebelum ini juga telah dijemput,” katanya.
Katanya ini kerana ACS sentiasa berusaha mengukuhkan semangat kepunyaan, perpaduan dan keamanan dikalangan semua orang Sarawak melalui pelbagai aktivitinya di setiap bahagian di negeri ini.
Ambrose berkata Pengerusi Jawatankuasa Penganjur acara itu tahun ini ialah Canon Ronnie Cannidy dan Setiausahanya ialah Robert Tay manakala penasihatnya The Very Revd Kho Thong Meng yang juga Dean di St Thomas’s Cathedral.
Selain itu, beliau juga memuji penyertaan ramai Kristian dan bukan Kristian ketika perarakkan Krismas di Kuching, Miri, Serian, Sibu, Sarikei, Bintangor, Bintulu, Limbang, Sri Aman, Kapit dan pekan di bahagian lain baru-baru ini. — DayakDaily