Program Jualan Sentuhan Rakyat 2018 bakal diadakan di Batu Kitang pada April 1

Lo (duduk tengah) mengadakan sidang media Program Jualan Sentuhan Rakyat 2018 bersama ahli PBB dan SUPP Cawangan Batu Kitang di Ibupejabat MPP.

KUCHING, Mac 28: Ahli Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) bersama ahli Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dari kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Kitang akan mengadakan Program Jualan Sentuhan Rakyat 2018 di Pusat Khidmat SUPP Cawangan Batu Kitang di Batu 6, di sini, pada April 1 depan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kitang Lo Khere Chiang berkata program terbabit akan menjual barangan keperluan harian dengan harga lebih rendah dari harga pasaran kepada orang ramai termasuklah gula, tepung, ikan, beras, minyak masak, bawang, ayam, telur dan sayur-sayuran.

“Program jualan ini akan selama tiga jam sahaja bermula jam 9 pagi sehingga 12 tengahari dan dijangka akan dirasmikan Presiden SUPP Professor Datuk Dr Sim Kui Hian. Sehubungan itu saya mempelawa penduduk kawasan DUN Batu Kitang menghadiri program ini dan membeli barangan terbabit dengan harga lebih murah dari harga pasaran,” katanya ketika mengadakan sidang media terbabit bersama ahli PBB dan SUPP Cawangan Batu Kitang di Ibupejabat Majlis Perbandaran Padawan (MPP), di Kota Padawan, di sini, semalam.


Lo Khere Chiang berkata sebanyak empat pihak yang akan menyediakan barangan program ini nanti iaitu pasaraya Emart, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan syarikat Pawada.

“Keseluruhannya sebanyak 16 gerai akan didirikan semasa program itu bagi menjual barangan terbabit selama tiga jam kepada orang ramai,” katanya.

Beliau berkata barangan keperluan dalam program itu dapat dijual dengan harga lebih rendah dari harga pasaran kerana diberikan subsidi kerajaan atau ditaja wakil rakyat dengan kawasan DUN Batu Kitang akan menjadi kawasan SUPP pertama di bandaraya ini yang menganjurkan program terbabit.

Di Sarawak, program tersebut telah mula dilaksanakan pada Januari 27, 2018 di tiga kawasan Parlimen iaitu P.222 Lawas, P.219 Miri dan P.210 Kanowit dan sudah sebanyak 39 kali program itu telah diadakan di seluruh negeri ini.

Anggaran jumlah jualan program itu setakat Mac 25 lepas adalah sebanyak RM1.874 juta dan sebanyak 17 lagi program ini dalam perancangan untuk diadakan seluruh negeri ini. — DayakDaily