Perlumbaan Katak Antarabangsa Borneo Ke-9 bantu promosi ekopelancongan Negeri

Hii (dua dari kanan) menyampaikan hadiah kepada pemenang tempat pertama pertandingan fotografi, Tan Song Wei.

Follow and subscribe to DayakDaily on Telegram for faster news updates.


KUCHING, 1 Dis: Perlumbaan Katak Antarabangsa Borneo Ke-9 pada tahun ini merupakan satu contoh kepada usaha kerajaan dalam mempromosikan ekopelancongan di negeri ini.

Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berharap setelah keadaan mengizinkan kelak, rakyat tempatan dan pelancongan dapat meluangkan masa di kawasan hutan dilindungi.

“Pelancong boleh menikmati keindahan alam semulajadi seperti hutan, pantai dan budaya yang terdapat di Sarawak,” katanya di Majlis Penutup Perlumbaan Katak Antarabangsa Borneo Ke-9 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini hari ini.


Teks ucapan beliau dibaca Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Hii Chang Kee.

Menurut Abdul Karim, acara tersebut telah mendapat sambutan yang luar biasa dan menerima penyertaan dari seluruh pelosok Borneo.

Katanya, Borneo memang terkenal dengan kepelbagaian biodiversiti termasuk amfibia dan Sarawak mempunyai lebih 100 spesis katak.

“Ini adalah gerakan pemuliharaan masyarakat yang mendapat sokongan daripada agensi kerajaan.

“Selain itu, ia juga menarik perhatian orang ramai terhadap kepelbagaian biologi di Sarawak dan Malaysia,” katanya.

Perlumbaan Katak Antarabangsa Borneo Ke-9 disertai mereka yang aktif di dalam ekopelancongan, ahli konservasi, saintis, pengurus sumber, pelajar dan yang lain.

Komponen utama penganjuran tahun ini adalah sesi webinar yang disertai penceramah terkenal di dalam bidang ‘herpetology’ dan pemuliharaan biologi serta pertandingan fotografi. — DayakDaily