Perkhidmatan kaunter BPR 2021 LHDNM Sri Aman ditangguh

Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia logo

KUCHING, 23 Jan: Kaunter Bantuan Prihatin Rakyat 2021 (BPR 2021) di Pusat Khidmat Hasil Sri Aman akan ditangguhkan perkhidmatannya buat sementara waktu mulai 25 Januari 2021.

Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) menerusi kenyataan hari ini berkata, penangguhan dilaksanakan sehingga ke satu tarikh yang akan dimaklumkan kelak.

“Penangguhan ini dibuat atas nasihat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Sri Aman, Sarawak yang melarang sebarang aktiviti melibatkan himpunan orang ramai pada ketika ini.


“Ini bagi memastikan semua Prosedur Operasi Standard (SOP) Pencegahan Penularan Wabak Covid-19 yang ditetapkan oleh kerajaan sentiasa dipatuhi,” kata LHDNM.

Sehubungan itu, pelanggan dan pemohon BPR 2021 adalah disarankan agar melakukan semua urusan secara dalam talian.

Sebarang pertanyaan serta maklum balas berkaitan boleh dimajukan kepada LHDNM melalui Hasil Care Line di talian 03-8911 1000 / 603-8911 1100 (Luar Negara).

Pertanyaan juga boleh dilakukan melalui HASiL Live Chat dan Borang
Maklum Balas di portal rasmi LHDNM di pautan pantas
https://maklumbalaspelanggan.hasil.gov.my/MaklumBalas/ms-my/. — DayakDaily