Perkhidmatan DuitNow kini boleh digunakan melalui S PAY GLOBAL

Abang Johari (empat dari kiri) menerima kunjungan Anderson (kanan) serta rombongan di Wisma Bapa Malaysia.
Advertisement

KUCHING, 4 Dis: Aplikasi e dompet Kerajaan Sarawak iaitu S PAY GLOBAL memperluaskan ciri-ciri baharunya apabila dipautkan bersama QR DuitNow hasil kerjasama dengan Payments Network Malaysia (PayNet).

Pengurus Besar Sarawak Multimedia Authority (SMA), Dato Dr Anderson Tiong Ing Heng berkata, hasil kerjasama ini membolehkan S PAY GLOBAL mengimbas aplikasi e dompet DuitNow yang lain.

“Malah, aplikasi e dompet DuitNow yang lain juga boleh mengimbas e dompet para peniaga dalam S PAY GLOBAL.

Advertisement

“Oleh itu, ciri-ciri baharu ini membuka ruang kepada ketersambungan yang lebih baik agar urus niaga rakyat Sarawak berjalan dengan lancar,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan kunjungan hormat terhadap Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Abang Haji Openg di Wisma Bapa Malaysia di sini, hari ini.

Rombongan kunjungan terbabit turut disertai Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Perancangan Ekonomi dan Pembangunan) Datu Dr Muhammad Abdullah Zaidel.

Anderson menambah, sebanyak RM4.3 bilion transaksi pembayaran direkodkan setakat ini, sejak S PAY GLOBAL diwujudkan pada tahun 2017.

“Daripada jumlah itu, sebanyak 118 juta pembayaran dilakukan dengan 780,000 pengguna berdaftar manakala 92,000 lagi peniaga berdaftar.

“Hakikatnya, S PAY GLOBAL telah menjadi e dompet penting kepada rakyat Sarawak termasuk mereka yang berada di luar bandar terutamanya dalam kemudahan bagi pembayaran bil utiliti,” jelasnya. — DayakDaily

Advertisement