Perkhidmatan bas sekolah percuma mungkin diperluaskan ke Miri

Azmi (dua dari kiri) menunjukkan risalah mengenai Perkhidmatan Bas Sekolah Percuma Kerajaan Sarawak ketika "Program Sesi Bersama Media: Perkhidmatan Bas Sekolah Percuma Kerajaan Sarawak" di Yayasan Sarawak.

KUCHING, 28 Julai: Yayasan Sarawak kemungkinan akan memperluaskan perkhidmatan bas sekolah percuma yang disediakan kerajaan Sarawak ke bandar Miri selepas perkhidmatan itu dilancarkan di bandaraya ini 15 Julai lepas.

Pengarahnya Azmi Bujang berkata terdapat keperluan mendesak untuk perkhidmatan itu disediakan di bandar besar yang lain di negeri ini termasuk Miri, Sibu dan Bintulu selain di bandaraya ini.

“Yang seterusnya, mungkin kami akan pergi ke Miri dahulu dan kemudian turun ke bawah, kerana persatuan (bas sekolah di kawasan bandar) tertentu sudah bersedia (memulakan perkhidmatan itu) dan persatuan tertentu belum bersedia,” katanya ketika “Program Sesi Bersama Media: Perkhidmatan Bas Sekolah Percuma Kerajaan Sarawak” di Yayasan Sarawak, Jalan Sultan Tengah, Petra Jaya di sini, hari ini.


Azmi berkata ketika ini polisi penyediaan perkhidmatan itu juga hanya bagi bandar besar di negeri ini termasuk Sibu, Bintulu dan Miri tetapi kerajaan Sarawak boleh mengubah polisi terbabit bergantung kepada keperluannya selepas ini.

Beliau berkata ketika ini sebanyak 46 bas dan van sekolah menyediakan perkhidmatan itu di bandaraya Kuching dengan 178 perjalanan di 22 laluan dan berkapasiti membawa 2,800 sehingga 3,000 pelajar berulang alik ke sekolah setiap hari.

Katanya kos ditanggung kerajaan Sarawak ialah sekitar RM2.45 untuk sekali perjalanan seorang pelajar yang mengunakan perkhidmatan itu atau sekitar RM5 bagi seorang pelajar berulang alik ke sekolah sehari.

“Jadi sekitar RM80 sebulan dapat dijimatkan bagi satu keluarga yang ada seorang anak bersekolah dan RM160 sebulan dijimatkan bagi yang ada dua anak bersekolah,” katanya.

Tambah beliau, adalah polisi perkhidmatan itu bagi membantu golongan berpendapatan rendah dan kerajaan Sarawak memperuntukan sebanyak RM5 juta bagi menyediakan perkhidmatan terbabit di kawasan bandar negeri ini. — DayakDaily