Perkeso serah faedah pencen penakat SKSSR Kepada waris Arwah Rasini Ujang

Phillip (dua kiri) menyerahkan sumbangan Kotak Prihatin dan Faedah Pencen Penakat Skim Keselamatan Suri Rumah Perkeso kepada Amjah Rebi. Turut kelihatan Dr Hazland (tengah).

KUCHING, 7 Mac: Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) hari ini menyerahkan sumbangan Kotak Prihatin dan Faedah Pencen Penakat Skim Keselamatan Suri Rumah (SKSSR) kepada waris Rasini Ujang.

Menurut kenyataan Perkeso, sumbangan telah disampaikan Pengarahnya Phillip Sangkan kepada Amjah Rebi.

Turut hadir Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar merangkap ADUN Demak Laut Dr Hazland Abang Hipni.


Arwah Rasini telah meninggal dunia pada 27 Dis, 2022 di kediamannya di Kampung Goebilt, Jalan Bako, Kuching akibat mati mengejut.

Arwah berumur 47 tahun dan berkahwin telah meninggalkan seorang duda dan 4 orang anak di mana 3 orang daripadanya telah melebihi 21 tahun dan seorang lagi anaknya berumur 15 tahun dan bersekolah.

“Sebelum meninggal dunia, arwah Rasini merupakan seorang suri rumah sepenuh masa.

“Setelah semakan kelayakan arwah sebagai pencarum PERKESO di bawah pencarum i-SURI KWSP, waris kepada arwah iaitu suaminya Amjah layak menuntut faedah Pencen Penakat SKSSR Perkeso,” kata Perkeso.

Ini membolehkan waris menerima faedah pengurusan jenazah berjumlah RM2,000 serta pencen bulanan sehingga berumur 55 tahun berjumlah RM300 sebulan dan dikongsi bersama dengan anaknya yang berumur bawah 21 tahun. — DayakDaily