Perjanjian jual beli produk methanol keluaran Sarawak dijangka ditandatangani bulan Disember

Abang Johari (empat dari kanan) bersama rombongan syarikat Petronas Chemicals Marketing (Labuan) Ltd, yang mengadakan kunjungan hormat kepadanya di Pejabat Ketua Menteri di DUN, Petra Jaya.

KUCHING, Nov 12: Sarawak bakal menjual produk methanol keluarannya kepada syarikat Petronas Chemicals Marketing (Labuan) Ltd tidak lama lagi.

Pengarah Projek, Sarawak Petchem Sdn Bhd, Mohammad Ibrahim berkata demikian berikutan pihaknya dan Petronas Chemicals Marketing (Labuan) Ltd sedang berbincang mengenainya dan dijangka dapat menandatangani perjanjian jual beli produk methanol terlibat pada Disember depan.

“Produk methanol kami akan 100 peratus dibeli Petronas Chemicals Marketing (Labuan) Ltd. Perbincangan kami mengenainya setakat ini positif dan majlis menandatangani perjanjian jual beli yang bersesuaian dan dihadiri Ketua Menteri yang dijangka diadakan Disember depan,” katanya selepas mengetuai rombongan Sarawak Petchem Sdn Bhd mengadakan kunjungan hormat kepada Ketua Menteri di pejabatnya di Dewan Undangan Negeri (DUN) ,Petra Jaya, di sini, hari ini.


Beliau bagaimanapun tidak dapat mendedahkan nilai jualan produk methanol dari Sarawak kepada Petronas Chemicals Marketing (Labuan) Ltd kerana ketika ini sedang melakukan pengiraan berkenaan.

“Sehubungan itu pihak kami belum dapat memberikan maklumat terbabit kerana angka sebenarnya belum lagi dapat disahkan,” katanya.

Disamping itu, pihaknya juga tidak dapat mengesahkan lagi samada produk methanol terbabit akan dikecualikan Cukai Jualan sebanyak 5 peratus ke atas produk petroleum negeri ini seperti diumumkan Ketua Menteri dalam Belanjawan 2019.

“Setakat ini kami tidak tahu itu, tetapi akan melihat kemungkinannya. Kami juga perlu mengambil kira mengenai cukai yang dikenakan terhadap industri,” katanya, sambil menambah pihaknya akan mengkaji kesan cukai terbabit. — DayakDaily