Penyokong parti komponen GPS dinasihatkan untuk mengelakkan bergaduh

Abang Johari (empat dari kiri) menerima cenderahati dari Peter (tiga dari kiri) ketika menghadiri Majlis Makan Malam Sambutan Ulang Tahun Ke-2 Majlis Perbandaran Kota Samarahan.

KOTA SAMARAHAN, Nov 12: Penyokong parti komponen Gabungan Parti Sarawak (GPS) mesti mengelakkan bergaduh sesama mereka sendiri dalam parti seperti yang berlaku pada penyokong parti politik dari Semenanjung di negeri ini.

Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata demikian kerana beliau mahu semua parti komponen GPS yang semuanya berasal dari negeri ini sentiasa dalam keadaan yang baik dan aman.

“Jangan bergaduh-gaduh diantara kita; kalau parti lain bergaduh biarlahnya, jangan parti Sarawak bergaduh. Parti Malaya bergaduh mana katanyalah bergaduh,” katanya ketika menghadiri Majlis Makan Malam Sambutan Ulang Tahun Ke-2 Majlis Perbandaran Kota Samarahan, di Dewan Suarah Kota Samarahan, di sini, semalam.

Majlis tersebut juga dihadiri Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Dr Sim Kui Hian, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Stakan, Dato Sri Mohammad Ali Mahmud serta Pengerusi Majlis Perbandaran Kota Samarahan, Datuk Peter Minos.

Abang Johari berkata daripada bergaduh seperti penyokong parti dari Semenanjung adalah lebih baik penyokong parti komponen GPS menumpukan masa dan tenaga mereka memikirkan bagaimana menaiktaraf kehidupan rakyat Sarawak.

Katanya ini terutamanya kehidupan rakyat di luar bandar negeri ini sambil mendedahkan enam bulan lepas merasai sendiri pengalaman memandu Jalan Simunjan yang tidak rata dan perlu dinaiktaraf.

“Saya pergi Simunjan guna motosikal enam bulan yang lepas. Jalan Simunjan bergelombang macam musim landas di laut,” katanya.

Abang Johari berkata keadaan jalan tersebut adalah disebabkan tanah gambut dan bagi mengatasi masalah itu Jalan Simunjan perlu kerap dilakukan kerja penurapan semula.

“Sebab itu dalam masa lima tahun, kita akan menaiktaraf jalan dari Samarahan ke Simunjan sehingga Sebuyau,” katanya.

Disamping itu, bagi mengatasi masalah kesesakkan lalulintas di Kota Samarahan, tiga lampu isyarat akan dibina di tiga bulatan besar utama Kota Samarahan dan dilaksanakan secepat mungkin tahun depan.

“Tiga lampu isyarat terbabit akan serentak menyalakan lampu hijau, supaya kenderaan bergerak serentak dan seterusnya mengelakkan berlakunya kesesakan,” katanya, dengan ini diharapkan menjadi penyelesaian segera bagi masalah kesesakkan lalulintas di Kota Samarahan. — DayakDaily