Suri rumah rugi RM4,000 akibat terpedaya ‘parcel scam’

Scam alert. — DayakDaily.com file pic // Photo: Pixabay

Oleh Dean Adam

BINTULU, Nov 12: Seorang suri rumah kerugian RM4,000 selepas terpedaya dengan sindiket penipuan ‘parcel scam’.

Kes itu dilaporkan berlaku antara November 3 hingga 10 lepas.


Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Sarawak, Supt Mustafa Kamal Ghani Abdullah berkata, berdasarkan laporan diterima, mangsa dikatakan telah menerima mesej dari seorang wanita bernama Ivy kononnya dari ejen kiriman barang IFS.

Katanya, suspek kemudian mengatakan kotak barang kiriman dari Romania yang dikirim oleh abang angkat mangsa telah sampai di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

“Suspek memberitahu mangsa kotak barangan tersebut mengandungi beg tangan, kasut, komputer riba dan wang tunai asing yang terlebih muatan.

“Seterusnya suspek mengatakan barang tersebut terpaksa ditahan oleh pihak Kastam kerana perlukan ‘declaration certificate’ dan suspek mengarahkan mangsa untuk membayar duti Kastam bagi melepaskan barangan tersebut,” katanya di sini hari ini.

Mustafa menambah, akibat terperdaya dengan arahan suspek mangsa telah membuat transaksi sebanyak RM2,000 ke akaun Maybank suspek atas nama Rohana Mohd Tahir.

Katanya, mangsa sekali lagi membuat pembayaran kedua sebanyak RM2,000 ke akaun Maybank suspek atas nama Bangan Budit.

“Selepas kali ketiga mangsa diminta membuat bayaran, dia kemudian menyedari bahawa dirinya telah ditipu.

“Mangsa kemudian membuat laporan polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Sambil menambah, wang yang digunakan mangsa untuk membayar suspek ialah milik suaminya yang bekerja sebagai pekerja am. — DayakDaily