Perintah pasaran modal dan perkhidmatan mata wang, token digital berkuatkuasa esok

Lim Guan Eng in Parliament. - File photo
Advertisement

KUCHING, Jan 14: Kementerian Kewangan Malaysia (MOF) mengumumkan yang Perintah Pasaran Modal dan Perkhidmatan (Penetapan Sekuriti) (Mata Wang Digital dan Token Digital) 2019 akan mula berkuatkuasa esok.

Menteri Kewangan Malayisa, Lim Guan Eng berkata dengan berkuatkuasa perintah itu, mata wang digital dan token digital seperti yang dinyatakan dalam peraturan ini yang secara kolektif dikenali sebagai “aset digital” adalah ditetapkan sebagai sekuriti dan akan dikawal selia oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC).

“Penawaran instrumen-instrumen tersebut, berserta aktiviti yang berkaitan dengannya, akan memerlukan kebenaran dari SC dan perlu mematuhi undang-undang sekuriti dan peraturan-peraturan yang berkenaan,” menurutnya dalam kenyataan media MOF di laman Facebook Kementerian Kewangan Malaysia, hari ini.

Advertisement

Lim berkata MOF berpandangan bahawa aset digital berserta teknologi blockchain yang menjadi asas baginya, berpotensi untuk memperkenalkan inovasi di dalam industri lama dan baru.

Secara khususnya, pihaknya percaya bahawa aset digital mempunyai peranan untuk menjadi satu kaedah alternatif untuk mendapatkan dana oleh para usahawan dan perniagaan-perniagaan yang baharu serta sebagai kelas aset alternatif untuk para pelabur.

“Justeru SC akan menetapkan syarat-syarat berkenaan untuk menjalankan tawaran syiling permulaan (Initial Coin Offering atau ICO) dan perdagangan aset digital dan pasaran aset digital di Malaysia. Rangka kerja ini dijangka akan dilancarkan sebelum penghujung suku pertama 2019,” katanya.

Lim berkata sehubungan itu mana-mana individu yang menjalankan aktiviti ICO atau mengendalikan pasaran aset di Malaysia tanpa kelulusan SC boleh dihukum apabila disabit dengan penjara tidak melebihi 10 tahun dan denda tidak melebihi RM10 juta. — DayakDaily

Advertisement