Pembedahan lasik semakin popular di Sarawak

Dr Julian (dua dari kiri) dan Kho (kiri) dari Borneo Medical Centre bersama Leong (dua dari kanan) dan Sabrina (kanan) ketika pelancaran Kerjasama Borneo Medical Centre dan Level Up Fitness di Borneo Medical Centre, di Simpang Tiga, Jalan Tun Jugah, Kuching.

KUCHING, Jan 14: Pembedahan lasik (laser-assisted in situ keratomileusis) bagi memperbaiki penglihatan mata yang rabun kini semakin popular di Sarawak sehingga purata seramai lima hingga 10 individu memilih menjalani pembedahan itu di pusat perubatan Borneo Medical Centre setiap bulan.

Residen Ophthalmologist dan Jurubedah Lasik Borneo Medical Centre, Dr Julian Tagal berkata ini terutamanya dikalangan individu yang mahu hidup secara aktif tetapi tidak mahu memakai cermin mata atau kanta mata.

“Pembedahan lasik ini semakin popular di negeri ini sehingga secara purata seramai lima hingga 10 individu akan melakukannya di Borneo Medical Centre setiap bulan. Ini kerana pembedahan lasik keatas kedua-dua belah mata mereka hanya mengambil masa 20 minit sahaja,” katanya ketika mengadakan pelancaran Kerjasama Borneo Medical Center dan Level Up Fitness di Borneo Medical Centre, di Simpang Tiga, Jalan Tun Jugah, di sini, hari ini.


Melalui kerjasama tersebut, setiap ahli pusat kecergasan Level Up Fitness akan mendapat potongan harga sebanyak RM300 sekiranya mereka mahu melakukan pembedahan lasik di Borneo Medical Centre.

Juga menghadiri pelancaran kerjasama itu ialah Pengurus Pemasaran, Borneo Medical Center, Melanie Kho manakala dari Level Up Fitness Sdn Bhd ialah Pengurus Pembangunan Perniagaannya, Lynn Leong dan Pengurus Pemasarannya, Sabrina Douglas.

Dr Julian berkata pembedahan lasik juga cukup selamat kerana mengunakan pancaran laser sejuk bagi membentuk semula kornea mata dengan pengihatan mata individu sudah dibedah boleh pulih kembali dalam tempoh enam hingga lapan jam kemudian.

Beliau berkata individu yang mahu menjalani pembedahan tersebut hanya perlu tidak makai kanta mata selama dua minggu sebelum pembedahan dan pembedahan adalah sesuai kepada individu yang berusia 18 tahun ke atas sahaja.

Sementara itu, Kho berkata ketika ini kos biasa bagi melakukan pembedahan lasik di pusat perubatan itu ialah sebanyak RM5,999 bagi seorang individu.

“Pusat perubatan ini juga telah mula menawarkan pembedahan lasik kepada orang ramai di negeri ini sejak September 2017,” katanya dengan pusat perubatan itu juga boleh melakukan pembedahan mata lain bagi membaikpulih penglihatan rabun dan kabur iaitu Refractive Lens Exchange (RLE) dan Implantable Collamer Lenses (ICLs). — DayakDaily