Perhotelan kekurangan lebih setengah juta pekerja — Nancy

Nancy (duduk tengah) pada sidang media di Kuching.

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 14 Mei: Kerajaan akan membawa masuk lebih setengah juta pekerja asing bagi menampung kekurangan tenaga kerja dalam sektor pelancongan khususnya perhotelan di negara ini.

Menurut Menteri Pelancongan, Seni Dan Budaya Dato Sri Nancy Shukri, masalah ini telah dikemukakan kepada kabinet menteri dan kelulusan telah diberi untuk membawa pekerja asing masuk.

Namun katanya, kekurangan tenaga kerja ini bukan sahaja dihadapi oleh industri perhotelan sahaja tetapi ia menyelubungi keseluruhan eko-sistem pekerjaan di dalam negara.

“Bagi kami di industri pelancongan secara rasmi telah mengemukakan perkara ini kepada kabinet dan kerajaan telah meluluskan kepada kita untuk membawa pekerja dari luar negara.

“Itu baru kelulusan dan proses selanjutnya selepas itu adalah untuk membawa mereka masuk dan proses inilah yang membawa cabaran di dalam bidang perhotelan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Majlis Ramah Mesra Bersama Penggiat Industri Pelancongan, Seni Dan Budaya di Institut Kraftangan Malaysia Cawangan Sarawak di sini, hari ini.

Tambah Nancy, proses pengambilan pekerja luar seperti dari Indonesia, Myanmar dan Bangladesh sepatutnya tidak lebih daripada 2 bulan.

“Cuma terpulanglah kepada pekerja asing yang datang ini, mereka datang bukan hanya untuk bekerja di bidang perhotelan.

“Ada yang datang untuk bekerja di estet-estet atau bidang pekerjaan lain,” jelas Nancy.

Pada sidang media itu, beliau menyarankan agar pekerja tempatan untuk tampil memenuhi permintaan di bidang perhotelan bagi membantu menyelesaikan masalah.

Katanya, ketidaktentuan di dalam bidang perhotelan akibat masalah Covid-19 pada 2 tahun lepas sudah berlalu dan pihak hotel kini bersedia untuk mengambil pekerja tempatan. — DayakDaily