Oleh Peter Sibon
KUCHING, 26 Jun: Julius Jaranding, 34, seorang perenang Para Olimpik negara meminta pihak tertentu termasuk Menteri Belia dan Sukan Malaysia untuk melunaskan elaun tunggakan sebanyak RM72,000 bagi tahun 2019.
Julius yang mengikat kontrak dengan Institut Sukan Negara (ISN) selama dua tahun dari 2018-2019 hanya mendapat elaun untuk 2018 sahaja.
“Saya ingin memohon daripada Menteri Belia dan Sukan Malaysia agar memberi perhatian terhadap masalah saya sebagai atlet sukan renang para yang mana setelah sekian lama masalah elaun saya daripada ISN tidak dibayar oleh pihak ISN sejak dari 1 Januari sehingga 31 Disember 2019.
“Sehingga sekarang tidak ada mana-mana menteri pun yang ambil peduli walaupun telah beberapa kali isu ini saya keluarkan dalam media, namun tidak ada sebarang tindakan pun diambil. Adakah ini kerana saya seorang atlet OKUP, sebab itu orang tidak ambil perhatian terhadap isu yang saya suarakan?,” jelas Julius kepada DayakDaily hari ini.
Justeru, Julius berharap dengan keluhan ini, ada pihak dapat membantunya.
“Harapan saya selepas ini, ada pihak yang bertanggungjawab dapat membantu saya menyelesaikan tuntutan terhadap hak saya yang tidak dibayar oleh pihak ISN ini.
“Saya nak ambil peguam memang saya tidak mampu kerana saya memang tidak bergaji pun sekarang ini,” jelasnya.
Dalam kontrak dengan ISN, Julius dibayar gaji RM4,500 serta elaun RM1,500 sebulan.
Beliau juga dibayar elaun sebanyak RM800 oleh Persatuan Sukan Rekreasi OKU Negeri Sarawak (PESRON).
Kontrak tersebut bermula Mac tahun lepas sehingga Para Sukma yang akan diadakan di Johar tahun depan.
Julius, yang berasal dari Rumah Lulut Sg Tisa Kapit, telah mendirikan rumahtangga dan mempunyai empat orang anak yang berumur 2-12 tahun.
“Justeru, saya ingin menyeru kepada Kementerian Belia dan Sukan untuk menjelaskan tunggakan tersebut bagi membantu saya kerana saya banyak komitmen,” tambahnya.
Untuk rekod, Julius ialah perenang OKU kebangsaan yang telah mengharumkan nama negara di peringkat Asia dan juga Asean dalam categori renang bebas dan renang gaya dada.
Sementara itu, Menteri Belia dan Sukan Negeri Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, beliau akan mencuba membantu Julius dalam perkara tersebut.-DayakDaily