LAWAS, Feb 2: Perbuatan durjana seorang lelaki warga emas yang disyaki mencabul dan merogol anak buahnya sejak tahun lalu akhirnya terbongkar apabila polis menahan lelaki tersebut, semalam.
Suspek berusia 62 tahun itu diberkas sepasukan anggota polis susulan laporan polis yang diterima berhubung kejadian pada pukul 10.30 pagi.
Ketua Polis Daerah Lawas, DSP Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, sebelum mangsa yang berusia 14 tahun itu membuat laporan polis, dia telah dibawa oleh ibunya ke Hospital Lawas untuk membuat pemeriksaan.
Katanya, seorang doktor kemudian membuat laporan polis setelah mendapati mangsa didapati menjadi mangsa rogol kepada bapa saudaranya itu.
“Mangsa mendakwa suspek beberapa kali mencabul dan merogolnya ketika menghantar dia pulang ke asrama pada hujung minggu dan kali terakhir melakukan perbuatan itu pada November tahun lalu.
“Suspek didakwa melakukan perbuatan terkutuk itu di dalam sebuah kereta di kawasan sunyi di Kampung Awat-Awat di sini,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Mengulas lanjut, Abang Zainal memberitahu, polis akan memohon suspek direman untuk siasatan lanjut.
Katanya, setakat ini, suspek belum membuat sebarang pengakuan.
“Polis juga merampas kereta milik suspek untuk tindakan selanjutnya.
“Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol,” ujarnya lagi. — DayakDaily