Lelaki warga Indonesia ditemui mati

Mangsa yang ditemui mati.

KUCHING, Feb 2: Seorang lelaki warga Indonesia ditemui mati di belakang sebuah Tua Pek Kong di Jalan Sungai Apong di sini hari ini.

Mangsa yang dikenali sebagai, Sujono, 46, ditemui oleh orang awam yang kebetulan melalui belakang kawasan berkenaan kira-kira pukul 8.50 pagi.

Jurucakap polis berkata, pihaknya menerima laporan berhubung penemuan mangsa kira-kira pukul 9.30 pagi.

Katanya, sejurus menerima laporan insiden, sepasukan anggota polis bergegas ke lokasi untuk melakukan tindakan susulan.

“Sebaik tiba, polis menemui mangsa sudah tidak bernyawa dan dalam keadaan meniarap.

“Pemeriksaan lanjut mendapati terdapat kesan dadah di dalam sebuah tandas di situ. Siasatan awal mendapati mangsa dipercayai menghidap penyakit tibi,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mengulas lanjut, mayat mangsa sudah dihantar ke Hospital Umum Sarawak di sini untuk tindakan lanjut.

Katanya, pihak Konsulat Indonesia telah dimaklumkan mengenai kerajaan itu bagi mengesan waris mangsa.

“Buat masa ini, kes tersebut diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya lagi. — DayakDaily