Perarakan Persatuan Penganut Agama Buddha petang ini, beberapa jalan utama hadapi gangguan


KUCHING, 31 Dis: Beberapa jalan utama di Bandaraya Kuching hari ini akan mengalami sedikit gangguan untuk memberi laluan kepada Perarakan Persatuan Penganut Agama Buddha Wat Phuttart Stritrep Petchabun.

Ketua polis Daerah Kuching, ACP Awang Din Awang Ghani menerusi kenyataan media semalam berkata perarakan yang bermula pada jam 4.30 petang itu dijangka tamat pada jam 10 malam.

Katanya, ia melibatkan Jalan Hotel Century, Jalan Taman Hui Sing, Jalan Batu Tiga, Jalan Rock, Lampu Isyarat Wisma Saberkas, Jalan Batu Lintang, Lampu Isyarat Jalan Mendu, Jalan Tun Jugah, Flyover Tun Jugah, Jalan Song, Bulatan Stutong.


“Perarakan yang melibatkan seramai 250 orang peserta dan 20 buah kenderaan itu akan berhenti seketika di Saradise BDC dan kembali semula ke tokong bersebelahan Hotel Century,” katanya.

Menurut Awang Din, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik(BSPT) IPD KUching akan melaksanakan kawalan lalulintas di sepanjang laluan tersebut.

Orang awam dinasihatkan untuk merancang masa perjalanan masing-masing sekiranya mempunyai urusan ke pusat bandar dan mematuhi tanda-tanda isyarat kawalan lalulintas yang diarahkan pegawai polis dan pasukan beruniform yang bertugas.

Sebarang pertanyaan lanjut boleh menghubungi BSPT IPD Kuching di talian 082-221129 pada waktu pejabat. —DayakDaily.