This Content Is Only For Subscribers
KUCHING, 22 Julai: Menteri Belia, Sukan Dan Pembangunan Usahawan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah yakin Perarakan Sempena Sambutan 60 Tahun Sarawak Merdeka hari ini membawa keceriaan kepada seluruh rakyat.
Abdul Karim yang juga Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan menyifatkan acara adalah berlainan daripada perarakan biasa yang sering diadakan.
“Pagi ini kita melihat keceriaan di wajah semua peserta dan orang ramai yang hadir.
“Sambutan diadakan untuk menyemarakkan semangat cintakan tanah air dan saya rasa kita sudah mencapainya,” kata Abdul Karim.
Beliau berkata demikian ketika ditemui di Pelancaran Pameran Digital 60 Tahun Sarawak Merdeka di Plaza Merdeka sebaik selesai perarakan.
Tambah Abdul Karim, selalunya di setiap acara perarakan badan beruniform dan perbarisan diberi keutamaan.
Namun pada sambutan pagi ini katanya, ia lebih melibatkan hiburan dengan lagu dan tarian dari era 60-an sehingga sekarang dipersembahkan.
“Semua peserta kontinjen sangat gembira, ia sangat berlainan dan saya harap semua terhibur,” katanya.
Sambutan Jubli Intan Sarawak Merdeka di Padang Merdeka hari ini berlangsung penuh meriah, berwarna warni dan dengan semangat patriotik.
Dianggarkan kira-kira 10,000 rakyat pelbagai kaum, termasuk pelancong, hadir menyaksikan upacara bersejarah itu.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg Abang dan isteri, Puan Sri Juma’ani Tuanku Bujang serta Speaker Dewan Negara Tan Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, tiba di Padang Merdeka pada jam 8.20 pagi sebelum acara dimulakan dengan nyanyian lagu Negaraku dan Ibu Pertiwiku.
Sambutan kemudian dimeriahkan lagi dengan perbarisan oleh 75 kontinjen yang terdiri daripada enam kontinjen khas, 60 kontinjen bertanding serta tujuh kontinjen pasukan keselamatan dan pertahanan awam. — DayakDaily