This Content Is Only For Subscribers
KUCHING, 21 Ogos: Sebuah pusat tinju sedang dalam perancangan untuk diwujudkan di Kompleks Sukan Sri Aman, kata Adun Lingga Dayang Noorazah Awang Sohor.
Menurut laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), Dayang Noorazah berkata, ketika ini ADUN Simanggang Datuk Francis Harden Hollis sedang berusaha untuk membangunkan fasa kedua Kompleks Sukan Sri Aman.
Katanya, kelulusan pembangunan kompleks tersebut sedang menunggu keputusan kerana masih dalam kajian separuh penggal.
“Sekiranya ia dimasukkan, kita boleh cadangkan satu tapak untuk arena tinju di Sri Aman.
“Kita boleh cadangkan kepada beliaulah sebab pelan boleh diubah,” katanya ketika ditemui media selepas merasmikan pembukaan Kejohanan Tinju Terbuka Sarawak 2023 di Sri Aman di Stadium Tertutup Simanggang, Sri Aman pada Ahad.
Katanya, pengwujudan arena tinju itu sangat penting kerana minat belia setempat terhadap sukan tempur itu semakin meningkat dan ia dibuktikan dengan penglibatan ramai peserta di Sri Aman pada kejohanan kali ini.
Dayang Noorazah menambah cadangan itu bagaimanapun perlu dibincang bersama Datuk Francis memandangkan ia adalah kawasan DUN beliau sendiri serta agensi-agensi lain yang berkaitan.
Sementara itu, sebanyak 11 perlawanan pusingan awal pelbagai kategori berlangsung pada hari pertama semalam.
Edisi kali ini disertai seramai 139 petinju dari pelbagai kelab di Sarawak termasuk petinju Majlis Sukan Negara (MSN), Angkatan Tentera Malaysia (1 Div), Pulau Pinang, Wilayah Persekutuan, Singapura, Jepun dan Indonesia. — DayakDaily