PERAIS mohon pembukaan semula sekolah ditangguhkan

Rapelson Richard Hamit

KUCHING, 14 JULAI: Persatuan Anak Istimewa Sarawak (PERAIS) memohon kepada pihak kerajaan dan Kementerian Pendidikan untuk mempertimbangkan penangguhan pembukaan sekolah.

Presidennya Rapelson Richard Hamit berkata, ia sehingga suatu tempoh dimana tiada lagi kes positif Covid-19 direkodkan demi keselamatan dan kesihatan kanak-kanak.

“Kanak-kanak adalah paling mudah terdedah kepada jangkitan Covid-19 lebih-lebih lagi golongan Orang Kurang Upaya dan kanak-kanak yang mempunyai masalah kesihatan,”katanya menerusi kenyataan hari ini.


Tambah beliau, ibu bapa turut meluahkan kebimbangan terhadap keselamatan dan kesihatan anak-anak bila mereka berada di sekolah nanti.

Katanya, para ibu bapa juga telah menulis surat pemohonan kepada pihak sekolah untuk menangguhkan sesi persekolahan anak mereka.

Kerajaan pada 1 Julai lepas mengumumkan bahawa sesi persekolahan akan kembali dibuka namun dilaksanakan secara berperingkat bermula esok, 15 Julai.

Menteri Pendidikan, Dr Mohd Radzi Md Jidin memaklumkan, sesi persekolahan bagi pelajar Tingkatan 1 hingga 4 dan Peralihan di semua sekolah kerajaan akan bermula pada tarikh berkenaan.

Murid Tahun 5 dan 6 sekolah juga akan kembali ke sekolah pada tarikh sama.

Manakala tarikh pembukaan semula sekolah bagi murid Tahun 1 hingga Tahun 4 adalah pada hari Rabu, 22 Julai.

Menurutnya, pelajar yang ditawarkan ke Tingkatan 6 Semester 1 tahun ini juga akan mendaftar diri esok.—DayakDaily