KUCHING, 30 OKT: Persatuan Anak Istimewa Sarawak (PERAIS) menerima baik belanjawan 2022 namun terdapat keperluan bahawa ia haruslah eksklusif untuk semua golongan istimewa.
Presidennya Rapelson Richard Hamit dalam kenyataan hari ini berkata, keperluan khas golongan OKU penglihatan harus diberi perhatian.
Katanya, ia seperti menaiktaraf pengangkutan awam di mana golongan ini sering kali menggunakan kemudahan e-hailing dan kos nya adalah tinggi untuk urusan harian.
“Kerajaan juga disarankan menanggung sepenuhnya bayaran lesen kenderaan persendirian yang dimiliki oleh pasangan OKU di mana OKU masalah penglihatan juga bergantung penuh kepada pasangan mereka dari segi mobiliti.
“Persatuan juga mencadangkan agar Kerajaan memberikan potongan separuh harga untuk OKU mendapatkan kenderaan Nasional atau buatan Malaysia untuk memudahkan mobiliti di samping mengalakkan OKU untuk menjana pendapatan dengan menjadi e-hailing bagi menambah pendapatan,” katanya.
Selain itu tambah Rapelson, Kerajaan haruslah memberi fokus kepada memberikan peluang pekerjaan dan peluang perniagaan kepada OKU.
Katanya, ia seperti pelaksanaan pekeliling satu peratus pekerjaan dalam sektor awam dan swasta.
“Geran-geran haruslah diperincikan kepada OKU bagi mengalakkan OKU menceburi bidang perniagaan dan membantu perniagaan OKU pulih akibat pendemik Covid-19,” katanya. — DayakDaily