Perais berharap PM beri perhatian khusus kepada golongan OKU

Rapelson Richard Hamit

KUCHING, 22 Ogos: Persatuan Anak Istimewa Sarawak (Perais) berharap Perdana Menteri yang baharu Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob lebih prihatin terhadap keperluan dan pembangunan OKU di negara ini.

Presidennya Rapelson Richard Hamit berkata, perhatian khusus wajar diberi kepada orang kurang upaya (OKU) di Sabah dan Sarawak.

“Persatuan berharap agar tuntutan yang dibuat sebelum ini oleh Perais dan persatuan OKU yang lain ditunaikan oleh Kerajaan Persekutuan.


“Kabinet yang bakal dibentuk dibawah pimpinan Ismail Sabri boleh memberi peluang kepada OKU Sarawak menjawat jawatan penting dalam Kerajaan Persekutuan.

“Pelantikan Senator OKU daripada Sabah dan Sarawak, OKU dalam Syarikat Kerajaan (GLC) dan juga dalam kerajaan tempatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Rapelson juga menggesa kerajaan memberi jawatan menteri penuh kepada MP Puncak Borneo Datuk Willie Mongin dan MP Saratok Datuk Ali Biju.

Katanya, ia bagi mewakili masyarakat Dayak di Sarawak di mana kedua-dua MP berkenaan memiliki rekod perkhidmatan yang baik serta bersih. — DayakDaily