KUCHING, 22 Ogos: Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sarawak berdiri teguh dan menyokong penuh Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Presiden PKR.
Ketua Penerangannya Abun Sui Anyit berkata, ini susulan kenyataan oleh pihak tertentu yang cuba mempertikaikan kepimpinan Anwar sebagai Presiden dan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) secara terbuka di media.
“PKR Sarawak menyeru agar semua anggota di seluruh Sarawak untuk terus mengukuhkan parti dari peringkat akar umbi.
“Ini bagi persiapan menghadapi Pilihanraya Negeri Sarawak ke-12 dan Pilihanraya Umum Ke-15 akan datang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah Abun, PKR Sarawak juga berharap agar semua rakan di dalam kepimpinan parti di dalam PH agar sentiasa menjaga nama baik dan menghormati Majlis Presiden PH.
Katanya, ini dengan tidak mendahului Majlis Presiden dalam mengeluarkan kenyataan umum atau media.
Dalam kenyataan yang sama, Abun berkata Anwar masih kekal sebagai antara pemimpin Malaysia yang terbaik pernah dilahirkan di Malaysia malah terkenal di seluruh dunia.
“Cuma bakat kepimpinan beliau belum lagi diuji sepenuhnya kerana beliau belum diberi mandat untuk meneraju pemerintahan sebagai Perdana Menteri Malaysia,” ujar beliau. — DayakDaily