KUCHING, 5 Nov: Persatuan Anak Istimewa Sarawak (Perais) berharap Belanjawan 2021 yang akan dibentangkan esok haruslah menyeluruh untuk memberikan manfaat kepada seluruh rakyat di negara ini yang terjejas akibat penularan wabak Covid-19 tanpa memerlukan rakyat yang memiliki simpanan Kumpulan Wang Simpanan Perkerja (KWSP) mengeluarkan wang simpanan mereka.
Presiden Perais Rapelson Richard Hamit tegas perkara itu memandang bukan semua rakyat di negara ini mempunyai caruman dalam KWSP untuk di keluarkan.
“Sekiranya pencarum KWSP di negara ini dibenarkan untuk mengeluarkan simpanan mereka dalam KWSP, mereka (pencarum) harus diberikan pilihan sama ada untuk berbuat demikian atau sebaliknya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah beliau, Perais turut menyarankan agar moratarium dilanjutkan selama enam bulan lagi bagi semua rakyat di negara ini memandang ramai rakyat di negara ini yang hilang punca pendapatan akibat penularan Covid-19 dan perlaksanaan PKP.
Belanjawaan tersebut, tegasnya, haruslah lebih menekan kepada usaha mewujudkan peluang perkerjaan, pemulihan ekonomi dan peningkatan kualiti hidup rakyat yang telah banyak terjejas sejak penularan wabak terbabit.
Menurut Rapelson, Perais juga menyarankan agar bantuan bulanan yang diberikan kepada Orang Kurang Upaya (OKU) yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dikaji semula untuk dinaikkan nilainya.
“Bantuan untuk OKU yang terlantar di hospital dan dirumah haruslah segera diberikan lebih perhatian dalam belanjawan kali ini dan kita juga sarankan satu bantuan khas OKU diberikan untuk semua golongan OKU ini.
“Pada masa sama, geran ekonomi dan geran untuk pertubuhan, persatuan dan kelab yang berdaftar haruslah disediakan untuk membantu pertubuhan ini untuk terus bergerak lebih-lebih lagi geran ini kepada pertubuhan OKU dan geran pelancaran perniagaan dan ekonomi untuk OKU,” ujar beliau.
Di pada itu, Rapelson turut menekankan agar belanjawan bagi memperkasakan jalan perhubungan luar bandar terutamanya di Sabah dan Sarawak terus diberikan perhatian dalam pembentangan belanjawan tersebut agar dapat merancakkan pembangunan aktiviti ekonomi setempat berasaskan produk agromakanan.
“Perkara ini tidak dapat dilakukan tanpa perhubungan jalan yang baik untuk meningkatkan taraf ekonomi dan hidup mereka tambahan lagi kos hidup membebankan ketika Covid-19 ini,” tambah beliau. — DayakDaily