Gelombang ketiga Covid-19 rencatkan industri kreatif Sarawak

Abdul Karim (kanan) menyampaikan Anugerah Seniman Muzik Sarawak kepada salah seorang penerima.

KUCHING, 5 Nov: Krisis kesihatan dalam skala besar susulan penularan Covid-19 secara tidak lansung merencatkan perancangan yang di buat kerajaan sepanjang tahun ini termasuk yang melibatkan agenda pemerkasaan industri kreatif di Sarawak.

Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, kerajaan kini sedang bergelut untuk memutuskan rantaian jangkitan wabak tersebut yang kini memasuki gelombang ketiga yang semakin serius sekali gus mengusarkan banyak pihak.

“Satu persatu aktiviti termasuk seni budaya dan muzik telah ditunda atau dibatalkan dan penganjuran acara baru pula semakin berkurangan akibat semua pihak mengambil pendekatan berhati-hati. Semua pihak berada di dalam dilemma dan membawa kesan “domino effect” yang turut dirasai oleh segenap penggiat industri kreatif seperti muzik,” katanya ketika membacakan teks ucapan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg di Majlis Anugerah Seniman Muzik Sarawak di Hotel Imperial di sini malam tadi.


Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah

Katanya, kesan daripada situasi tersebut, majoriti pemain dan pengiat industri muzik perlu berkerja dari rumah serta membatalkan segala program dan aktiviti atau acara luaran berskala besar seperti konsert, persembahan dikhalayak ramai dan sebagainya.

Keadaan tersebut, ujar beliau, pastinya menimbulkan kegelisahan kepada sebahagian besar penggiat seni terlibat terutamanya pekerja bebas ataupun “freelancer” yang bergantung hidup sepenuhnya kepada kerja seni sebagai sumber rezeki.

“Justeru itu, pihak kerajaan berusaha untuk membantu golongan penggiat seni muzik ini agar mereka tidak dipinggirkan dan dapat dikurangkan impak atau kesan wabak Covid-19 keatas kerjaya mereka. Dalam masa yang penuh mencabar ini, setiap pihak haruslah memainkan peranan masing-masing bagi mengurangkan kesakitan sengatan wabak Covid-19 ini,” katanya.

Tambah beliau, bantuan daripada kerajaan kepada golongan tersebut merupakan salah satu cara untuk membantu penggiat-penggiat seni ini berhadapoan dengan ketidak tentuan akibat wabak Covid-19.

Abdul Karim (tiga dari kiri) meletakkan tangan pada ‘globe’ sebagi simbolik perasmian Majlis Anugerah Seniman Muzik Sarawak di Hotel Imperial, Kuching.

Bagaimanapun, kata Abdul Karim, semua pihak terlibat khususnya pemain-pemain industri muzik perlu memahami bahawa dalam keadaan sumber yang terhad, industri kreatif harus meneroka pendekatan mandiri sesuai dengan istilah ‘kreatif’ dalam industri tersebut

“Dalam hal ini, seluruh industri harus bersatu hati, berpimpin tangan dan bersolidariti.

“Pihak kami sangat memuji usaha penggiat industri muzik seperti pemain muzik dan penyanyi sebagainya yang telah membuat inisiatif kreatif seperti mengadakan konsert secara dalam talian dengan bayaran minima, membuka kelas maya untuk mengajar kemahiran seni, dan ada juga ramai ‘selebriti’ yang dapat digembleng untuk menghebahkan maklumat yang meningkatkan kesedaran orang awam berkenaan situasi semasa Covid-19,” katanya. — DayakDaily