Peragut cederakan mangsa sehingga patah pinggang, dijatuhkan hukuman 6 tahun penjara

Mohd Azman (kanan) bersama timbalannya Dato Mancha Ata dalam sidang media di IPD Kuching hari ini.

KUCHING, 6 Julai: Seorang lelaki dijatuhkan hukuman penjara enam tahun hari ini kerana meragut seorang wanita sehingga menyebabkan kecederaan parah.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Dato’ Mohd Azman Ahmad berkata tertuduh telah dihadapkan ke mahkamah hari ini dan dia telah mengaku meragut mangsa.

“Untuk makluman, suspek telah dituduh hari ini dan telah dijatuhkan hukuman enam tahun penjara,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching hari ini.

Katanya juga, suspek dituduh di bawah Seksyen392/397 Kanun keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh yang boleh sampai 14 tahun dan boleh dikenakan denda atau sebat.

Jelasnya juga, suspek yang berusia 28 tahun dilaporkan telah meragut seorang wanita berusia 36 tahun yang dalam perjalanan ke tempat kerja sekitar jam 4.30 pagi di Jalan Sultan Tengah, Petra Jaya pasa 21 Jun lalu.

Mangsa dikatakan telah terjatuh di dalam longkang dan mengalami kecederaan patah pinggang dan jari tangan kiri.

Bertindak kepada laporan berhubung kejadian, satu pasukan khas ditubuhkan untuk menjejaki suspek yang kemudian berjaya ditangkap pada 28 Jun.

Hasil siasatan suspek yang turut memiliki pelbagai rekod jenayah lampau direman dan telah dituduh di mahkamah hari ini. ā€” DayakDaily