Penyertaan SUPP dalam GPS perlu dibincangkan bersama ahli parti — Yong

Yong (duduk empat dari kiri) bersama ahli SUPP Cawangan Kuching yang mengadakan mesyuarat luar biasa di pejabat cawangan itu di Jalan Sg Padungan, Kuching.

KUCHING, Jun 17: Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Cawangan Kuching mahu penyertaan parti itu dalam Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang diumumkan sebelum ini supaya terlebih dahulu dibincangkan bersama ahli parti terbabit dan tidak diputuskan sesiapa sahaja secara individu.

Pengerusi SUPP Cawangan Kuching, Dato Lily Yong berkata demikian kerana penubuhan GPS masih belum ada dibincangkan dengan ahli parti itu malah penubuhannya masih menjadi perkara baharu kepada ramai ahli parti selepas diumumkan baru-baru ini.

“Berdasarkan hubungan baik semua bekas komponen parti (BN di Sarawak dahulu), tidak dapat dipersoalkan yang kami (SUPP) akan berkerjasama (dalam (GPS), tetapi di luar dari itu, saya fikir tiada antara kami (ahli SUPP) boleh berkata dahulu mengenainya, kami mesti menunggu parti mengadakan persidangan delegasi khas bagi membuat keputusan terbabit,” katanya pada sidang media selepas mengadakan Mesyuarat Luar Biasa 2018 SUPP Cawangan Kuching di pejabat cawangan itu di Jalan Sungai Padungan, di sini, hari ini.


Yong berkata perkara tersebut telah disuarakan ahli SUPP Cawangan Kuching pada mesyuarat berkenaan termasuk ahli veteran yang bertanggungjawab menubuhkan cawangan itu yang merupakan cawangan kedua tertua SUPP di negeri ini dan sudah berusia 49 tahun serta ketika ini mempunyai keseluruhannya seramai 7,500 ahli.

“Kami tidak boleh membiarkan ahli (SUPP) berterusan bertanya apa yang sedang berlaku (terhadap parti mereka). Jadi kami perlu melakukan sesuatu mengenainya,” katanya.

Beliau berkata selepas mesyuarat itu, pihaknya memutuskan meminta SUPP tidak membenarkan adanya individu atau menteri dalam parti terbabit boleh membuat sebarang keputusan terhadap perkara besar mengenai parti itu.

“Biarkan parti yang menjadi ketua kita, kerana menteri mempunyai terlalu banyak kepentingan yang lain dan perlu mengikut saja kehendak gabungan setelah tiada lagi BN (Sarawak),” katanya.

Disamping itu, mereka juga memutuskan supaya meminta SUPP mengubah kaedah pemilihan calon parti itu yang akan bertanding pada pilihanraya kerana pada Pilihanraya Umum Ke-14 lepas mendedahkan yang senarai calon parti terbabit dalam keadaan yang tidak teratur.

“Seorang calon parti mesti dicadangkan oleh samada satu cawangan atau satu kawasan pilihanraya. Ini supaya dapat berlaku adil kepada sesiapa ahli yang sudah lama turun padang bagi berusaha menjadi calon. Ini kerana ada antara ahli terbabit tiada peluang setelah pada minit terakhir ada pihak bukan ahli datang ke parti dan merampas peluang itu dengan menamakan calon pilihan mereka,” katanya.

Katanya ramai ahli SUPP Cawangan Kuching pada mesyuarat itu telah meluahkan kemarahan mengenai perkara itu dan sehubungan itu meminta parti memastikan calon parti itu yang dipilih adalah yang datang dari cawangan atau kawasan pilihanraya masing-masing disamping mereka sudah lama turun padang dan bekerja keras.

Selain itu, pihaknya juga meminta SUPP meminda perlembangaan parti terbabit supaya ada secara khusus menyatakan tentang kewujudan jawatankuasa disiplin parti itu kerana ketika ini walaupun parti itu ada satu jawatankuasa terbabit tetapi kewujudannya tidak ada dinyatakan dalam perlembagaan parti.

“Selain itu, kami juga memohon wakil rakyat dan menteri, ahli majlis, dan sesiapa yang jawatan mereka dilantik melalui SUPP supaya menyumbangkan sedikit kewangan. Ia tidak menyelesaikannya (masalah) bagi jangka masa panjang tetapi sekurangnya boleh membantu parti sementara,” katanya, yang juga menafikan parti itu perlu bapa penjaga atau “godfather” dan khuatir sekiranya ada individu itu maka parti terbabit akan dibawah kawalannya. — DayakDaily