Dua lelaki nyaris maut, motosikal dinaiki masuk gaung

Anggota bomba membawa mangsa keluar dari gaung.

BAU, Jun 17: Dua lelaki nyaris maut selepas motosikal yang dinaiki mereka hilang kawalan lalu terbabas jatuh ke dalam gaung di Jalan Jambusan di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 5.35 petang itu, kedua-dua mangsa mengalami kecederaan pada kaki dan anggota badan mereka.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bau, Kadri Bogol berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 5.38 petang.


Jelasnya, sepasukan 10 anggota bomba kemudian bergegas ke tempat kejadian untuk melakukan kerja-kerja menyelamat.

“Apabila tiba di lokasi kejadian, anggota bomba mendapati dua mangsa berada dalam gaung di bahu jalan berkenaan.

“Pemeriksaan lanjut mendapati kedua-dua mangsa berada dalam gaung sebelum anggota bomba melakukan operasi membawa mereka keluar dari gaung tersebut,” katanya di sini hari ini.

Kadri menambah, pasukan Kecemasan, Perubatan, Tindak Balas dan Perkhidmatan (EMRS) kemudian memberi rawatan awal kepada mangsa.

Katanya, selepas menerima rawatan itu, mangsa kemudian dibawa ke Hospital Bau untuk rawatan lanjut.

“Operasi tersebut tamat sepenuhnya sejurus mangsa dibawa ke hospital,” ujarnya. — DayakDaily