This Content Is Only For Subscribers
Oleh Chris Bishop
TEBEDU, 13 Ogos: Serian Eco Run 2023 yang diadakan di Kampung Daha Kisau di sini terus popular, kata Adun Teberdu Dr Simon Sinang Bada.
Menurut beliau, edisi pertama larian yang diperkenalkan pada tahun 2022 itu kini turut melibatkan penyertaan pelari dari luar negara.
“Pada edisi kedua tahun ini, saya difahamkan bahawa ada pelari dari negara luar seperti Ireland, Nepal, Amerika dan Brunei.
“Turut serta adalah pelari dari Semenanjung Malaysia dan Sabah.
“Jika pada tahun lepas (2022), jumlah penyertaan adalah sekitar 300 pelari, tetapi pada tahun ini ia meningkat hampir dua kali ganda iaitu dengan jumlah lebih 500 pelari,” katanya di Majlis Penyampaian Hadiah Serian Eco Run di Kampung Daha Kisau hari ini.
Tambah Sinang, Serian Eco Run telah dimasukkan di dalam kalendar tahunan Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan.
Oleh itu, jelas beliau, ia akan akan terus diadakan pada setiap tahun dengan peruntukan kewangan daripada pihak kementerian.
“Penganjuran larian ini telah memenuhi objektif iaitu bertujuan mempromosi Tebedu kepada dunia luar.
“Ini adalah satu aktiviti pelancongan penting kerana setiap pengunjung yang masuk sudah pasti membawa keuntungan kepada masyarakat setempat,” ujar Sinang.
Serian Eco Run 2023 menawarkan empat kategori untuk lelaki dan wanita iaitu larian 5km, 10km, 21km Terbuka dan 21km Veteran. — DayakDaily