Penyertaan bekas Bishop dalam politik diharap bawa kebaikan kepada rakyat

Datuk Roland Sagah Wee Inn

KUCHING, 15 Nov: Menteri Muda Pemodenan Pertanian, Tanah Adat Dan Pembangunan Wilayah Datuk Roland Sagah Wee Inn berharap penyertaan bekas Bishop Gereja Wilayah Asia Tenggara Datuk Bolly Lapok dalam politik boleh membawa kebaikan kepada rakyat.

Menurut Sagah, ia bukanlah menjadi satu kesalahan bagi seseorang yang pernah berada di kedudukan tinggi di dalam gereja untuk terlibat di dalam politik.

“Itu pilihan beliau sendiri, sama ada kita ketua agama, Bishop, paderi atau rakyat biasa.


“Ia terpulanglah kepada masing-masing untuk memilih lebih-lebih lagi di dalam pendirian politik,” katanya ketika ditemui ditemui pada Majlis Penyampaian Cek Bantuan Sekolah Mubaligh Denominasi Anglican Sarawak 2021 hari ini.

Dalam pada itu, Sagah yang juga penyandang kerusi DUN Tarat menyatakan kekecewaan dengan keputusan Bolly untuk terlibat di dalam politik.

“Memanglah bagi saya agak kecewa sedikit melihat perkembangan ini. Kalau kita di dalam bidang agama biarlah kita buat hal agama sahaja dan jangan masuk campur politik.

“Banyak orang cakap politik itu kotor tetapi saya tidak tahu sebab saya tidak main politik kotor. Politik tidak seharusnya kotor, orang membuatnya kotor,” ujar Sagah.

Bolly ,69, yang juga bekas Bishop Anglikan Sarawak dan Brunei Darussalam baru-baru ini telah mengumumkan menyertai Parti Sarawak Bersatu (PSB).

Sementara itu, Sagah berkata beliau masih belum tahu sama ada akan dicalonkan semula pada Pilihanraya Negeri (PRN) yang akan diadakan dalam masa terdekat ini.

Katanya, beliau akan terus memberikan khidmat pada setiap masa dan menyokong siapa sahaja calon yang dipilih.

“Saya serahkan kepada ketua menteri untuk membuat keputusan, saya buat kerja saja,” ujar beliau. — DayakDaily