Penyeludupan diesel: 7 warga Brunei ditahan dalam operasi bersama SPRM dan BMR

Malaysian Anti-Corruption Commission (MACC) Kuching headquarters.

Oleh Dean Adam

KUCHING, Mac 6: Seramai tujuh warga Brunei Darussalam ditahan menerusi satu operasi antarabangsa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sarawak bersama Biro Mencegah Rasuah (BMR) Brunei, semalam.

SPRM Sarawak dalam satu kenyataan media berkata, operasi bersama tersebut telah dilaksanakan di Limbang, Sarawak dan juga di kawasan Kg Limau Manis dan Kuala Lurah, Brunei.


Kata kenyataan media itu, semasa operasi bersama tersebut, SPRM juga telah mendapat bantuan daripada pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Sarawak untuk melaksanakan serbuan ke atas dua lokasi di sekitar Limbang yang dipercayai tempat penyembunyian dan penyimpanan minyak diesel yang diseludup dan tidak memiliki lesen penyimpanan minyak diesel yang sah.

“Rampasan telah dibuat ke atas minyak diesel yang dianggarkan kira-kira 57,800 liter bernilai RM126,004 serta rampasan ke atas peralatan seperti pam minyak diesel bernilai RM9,600.

“Pasukan serbuan juga merampas tujuh buah kenderaan pendaftaran negara Brunei Darussalam yang terdiri daripada lima kenderaa pacuan empat roda dan dua kereta,” kata kenyataan SPRM, hari ini.

Kenyataan sama menambah, kesemua suspek telah diserahkan kepada pihak BMR, Brunei bagi siasatan lanjut.

“Siasatan masih dijalankan oleh pihak SPRM dan BMR atas kesalahan di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009, Malaysia dan Akta Pencegahan Rasuah (Penggal 131), Negara Brunei Darussalam,” kata kenyataan sama. — DayakDaily