DBKU komited wujudkan persekitaran kerja bebas rasuah

Abang Abdul Wahap (dua dari kanan) merakamkan gambar kenangan bersama tetamu kehormat.

KUCHING, Mac 6: Integriti secara umumnya merupakan kualiti unggul yang perlu ada pada diri seseorang individu dan organisasi.

Budaya integriti berkait rapat dengan isu-isu etika dan nilai murni dan integriti penjawat awam memerlukan mereka bertindak secara jujur dan amanah mengikut bidang kuasa dan tugasnya, telus, tiada konflik peribadi, berwibawa, akauntabiliti serta patuh kepada peraturan dan undang-undang.

Oleh itu, adalah penting bagi warga kerja Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) secara khususnya melaksanakan segala amanah dengan sebaiknya supaya tahap kepercayaan warga kota terhadap pengurusan organisasi terus kekal.


DBKU telah dipilih oleh Governance Integrity and Anti-Corruption Commission (GIACC) dan United Nations Development Plan (UNDP) untuk terlibat di dalam Projek Rintis Pelaksanaan Pensijilan Malaysia Standard MS ISO 37001:2016 Sistem Pengurusan Risiko Rasuah (ABMS) di mana DBKU merupakan satu-satunya Pihak Berkuasa Tempatan di Sarawak yang terpilih.

Sasaran pihak GIACC dan UNDP adalah pada Jun 2019, mana-mana pihak yang terlibat dalam projek perintis ini akan mendapat pensijilan ABMS 37001:2016 ini termasuklah DBKU.

Lantas pada hari ini, Datuk Bandar Kuching Utara, Datuk Abang Abdul Wahap Abang Julai, telah melancarkan ke arah usaha Pensijilan MS ISO 37001:2016 Anti-Bribery Management Systems (ABMS).

Katanya, DBKU komited dalam mewujudkan persekitaran kerja bebas rasuah dan mematuhi undang-undang dan kawal selia berkaitan rasuah serta mengamalkan budaya kerja berintegriti tinggi, profesional, telus dan adil dalam memberi perkhidmatan yang terbaik kepada warga kota.

Terlebih dahulu, Talimat Anti-Rasuah telah disampaikan oleh Katherine Nais, Ketua Penolong Pengarah, Unit Pendidikan Masyarakat, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

Dalam majlis sama, Datuk Bandar juga mewar-warkan tentang penganjuran Agenda Warisan PintarOld Kuching yang bertemakan Empowering Smart Community.

Tema ini adalah tercetus daripada aspirasi “Old Kuching Heritage” yang mana ianya merupakan inisiatif di bawah Strategi Ekonomi Digital Sarawak bagi tahun 2018 hingga 2022.

Uniknya Agenda Warisan Pintar Old Kuching kali ini kerana ianya merupakan kolaborasi antara Kerajaan Negeri Sarawak melalui Old Kuching Smart Heritage (OKSHE) danSarawak Multimedia Authority (SMA). Agenda Warisan Pintar Old Heritage semestinya lebih meriah dan menjanjikan kelainan.

Warga kota adalah dialu-alukan untuk sama-sama memeriahkan program yang berlangsung selama tujuh (7) hari dan tujuh (7) malam iaitu bermula pada Mac 25 hingga 31, bertempat di Square Tower, Kuching.

DBKU juga akan melancarkan Pelan CBS 2.0 semasa Agenda Bandaraya Warisan PintarOld Kuching nanti. Pelan inisiatif DBKU ini masih mengekalkan tiga elemen utama iaitu Cantik, Bersih dan Selamat namun telah ditambahbaik dengan menambahkan unsur SMART dan juga SUSTAINABLE.

Seterusnya, DBKU bakal melancarkan Radio BandarayaKU pada Mac 27 nanti. Dengan pelancaran tersebut, DBKU akan menjadi Pihak Berkuasa Tempatan pertama di Sarawak mempunyai radio sendiri.

Dalam pada itu, DBKU terus mengorak langkah dengan lebih bersemangat apabila dinobatkan sebagai Juara Kejohanan Sepak Takraw Piala Presiden PSBK 2019 (secara berpasukan). — DayakDaily