Penyelia disyaki cabul kerani wanita dicekup polis

Suspek (tengah) ditahan polis untuk tindakan lanjut.

Oleh Brad Rantayy

MIRI, 14 Ogos: Seorang penyelia sebuah agensi kerajaan ditahan polis bagi membantu siasatan berhubung kes cabul seorang kerani wanita di dalam bilik mesyuarat sebuah pejabat di Piasau di sini pada Khamis lepas.

Ketua Polis Daerah Miri ACP Hakemal Hawari berkata, suspek berusia 35 tahun itu ditahan sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah (JSJ) IPD Miri pada petang Khamis (12 Ogos) sekitar jam 6.35 petang di kawasan kaki lima pejabat berkenaan di Jalan Dato Muib, Piasau Jaya.


Hakemal berkata, kejadian dilaporkan berlaku pada pagi Khamis sekitar jam 11.45 pagi di bilik mesyuarat pejabat sebuah agensi kerajaan di Piasau.

Dalam kejadian, mangsa dipercayai telah dicium dan dipeluk sebanyak dua kali semasa sedang mengemas bilik mesyuarat tersebut berseorangan.

Mangsa ada bertanyakan kenapa suspek secara tiba-tiba bertindak sedemikian, namun suspek hanya menjawab dia sekadar memeluk sahaja dan mengarahkan mangsa mengemas bilik tersebut.

Susulan kejadian, satu laporan polis telah dibuat oleh mangsa di Balai Polis Pusat Miri.

Bertindak dari laporan tersebut, sepasukan anggota JSJ IPD Miri telah menahan suspek untuk siasatan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana melakukan cabul. — DayakDaily