Penurunan kuasa antara kerajaan persekutuan dan Sarawak, Sabah berjalan lancar

Datuk Seri Nancy Shukri

KUCHING, Mac 29: Jawatankuasa Pemandu Ke-2 pelaksanaan penurunan kuasa antara kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri Sarawak dan Sabah (‘Devolution of Authority’) telah bermesyuarat hari ini di Parlimen dan dipengerusikan bersama oleh Datuk Seri Anifah Aman dan Datuk Seri Nancy Shukri.

Beberapa perkara telah dibincangkan dengan hasil yang positif, seperti pemberian khas kepada Sabah dan Sarawak dan pemberian semula kuasa mengenai elektrik dan pengagihan gas kepada Sabah.

Kesemua perkara ini seterusnya akan dikemukakan ke peringkat Jemaah Menteri bagi mendapatkan keputusan dasar.

Bagi isu pengagihan gas di Sarawak, perkara ini sudahpun dipersetujui sebelum ini bahawa Sarawak sememangnya mempunyai kuasa untuk mengagihkan gas di negeri tersebut di bawah ‘Gas Distribution Ordinance’ 2016.

Langkah seterusnya ialah perbincangan bersama pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) untuk peringkat pelaksanaan ‘Gas Distribution Ordinance’ 2016.

Menurut Nancy, perlaksanaan penurunan kuasa antara kerajaan pusat dan kerajaan negeri Sarawak sudah pun bermula dengan kebanyakan 13 perkara administratif yang telah dipersetujui sebelum ini berjaya dilaksanakan.

Kata Nancy, antaranya ialah pemberian tauliah mengikut Kanun Tatacara Jenayah kepada para Pegawai Undang-Undang Negeri oleh Pendakwa Raya untuk membuat pendakwaan bagi kesalahan mengikut Ordinan negeri daripada peringkat seseorang itu dikenakan pertuduhan di mahkamah rendah sehingga ke peringkat rayuan.

“Selain itu, penambahan 100 jawatan baharu dengan pengisian sepenuhnya dalam Jabatan Imigresen Sarawak bagi menambahbaik fungsi penguatkuasaan di Sarawak juga telah dilaksanakan sepenuhnya.

“Beberapa perkara lain seperti isu Jabatan Kebajikan, kini berada di peringkat akhir perbincangan,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Turut hadir ialah Peguam Negara Tan Sri Mohamad Apandi Ali selaku Pengerusi Jawatankuasa Teknikal Pelaksanaan Penurunan Kuasa antara Kerajaan Pusat dan Kerajaan Negeri Sarawak dan Sabah. — DayakDaily