Penunggang motosikal menemui ajal, rempuh belakang lori rosak

Keadaan motosikal mangsa selepas merempuh belakang sebuah lori.

TATAU, Dis 15: Seorang lelaki maut selepas motosikal yang ditunggangnya merempuh bahagian belakang sebuah lori di Jalan Bintulu-Tatau di sini malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 9.45 malam itu, mangsa, Enjat Mat, 41, disahkan meninggal dunia akibat kecederaan parah pada anggota badannya.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Negeri Sarawak, DSP Bingkok John berkata, sebelum kejadian, mangsa yang menunggang motosikal seorang diri dikatakan sedang dalam perjalanan pulang menuju ke rumahnya.


Bagaimanapun katanya, sebaik tiba di lokasi kemalangan, mangsa dipercayai gagal melihat sebuah lori yang diletakkan di bahu jalan berkenaan.

“Akibat perlanggaran kuat itu mengakibatkan mangsa tercampak dari motosikalnya dan terjatuh di atas jalan raya.

“Orang awam yang kebetulan melalui jalan berkenaan kemudian cuba membantu mangsa, namun dia sudah berada dalam keadaan tidak sedarkan diri dan berlumuran darah,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Kad pengenalan mangsa, Enjat Mat, yang disahkan meninggal dunia.

Mengulas lanjut, Bingkok memberitahu, siasatan awal mendapati keadaan gelap kerana tidak mempunyai lampu jalan telah menyebabkan mangsa gagal melihat sebuah lori diletakkan di tepi jalan di situ.

Jelasnya, siasatan lanjut mendapati lori tersebut rosak sejak tiga hari lalu dan pemiliknya telah meletakkan kenderaan itu di bahu jalan tersebut.

“Mayat mangsa sudah dibawa ke hospital untuk tindakan selanjutnya sebelum dituntut oleh ahli keluarganya.

“Kes itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. — DayakDaily