Penunggang motosikal maut selepas kemalangan dengan kereta di Daro

Keadaan motosikal mangsa selepas kemalangan tersebut.

MATU DARO, 4 Okt: Seorang penunggang motosikal maut selepas terlibat dalam kemalangan membabitkan sebuah kereta di Kilometer 30, Jalan Matu Igan semalam.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Sarawak Supt Alexson Naga Chabu berkata mangsa berusia 24 tahun dan berasal dari Kampung Telian Laut, Mukah.

Katanya, semasa kejadian mangsa dikatakan menunggang motosikal seorang diri dari arah Matu ke Igan pada jam 7 malam.


“Siasatan awal mendapati sebuah kereta jenis Perodua Bezza dari arah Igan menuju ke Kampung Tian Matu telah berlanggar dengan mangsa yang datang dari arah bertentangan.

“Dipercayai mangsa telah memasuki lorong kereta menyebabkan berlakunya perlanggaran tersebut, namun siasatan lanjut masih dijalankan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mangsa telah disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian selepas diperiksa kakitangan Hospital Kesihatan Daro.

“Mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Daro untuk tindakan lanjut,” katanya.

Kes tersebut masih dalam siasatan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. — DayakDaily