Penunggang motosikal maut, rempuh belakang lori di Bintulu

Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Advertisement

BINTULU, 9 Sept: Seorang penunggang motosikal maut selepas motosikalnya merempuh belakang sebuah lori di Jalan Pesisir Bintulu-Kuala Tatau, malam tadi.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak Supt Alexson Naga Chabu berkata mangsa,22, berasal dari Rumah Mersam Jok, Long Tebilu Tubau.

Katanya, sebuah lori muatan baja yang dalam perjalanan dari arah Bintulu ke Pusa telah berhenti di lokasi kejadian dikatakan untuk memeriksa lampu brek belakangnya.

Advertisement

Namun apabila pemandu hendak memulakan perjalanan, tiba-tiba dia terdengar bunyi dentuman kuat dari arah belakang iaitu sekitar 7.20 malam.

Pemandu lori tersebut kemudian terus memeriksa dan mendapati mangsa dalam keadaan terbaring di bawah lorinya dan kemudian terus menghubungi pihak hospital.

Anggota paramedik dari Hospital Bintulu hadir di lokasi kejadian dan mengesahkan mangsa telah meninggal dunia.

Mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Bintulu untuk tindakan selanjutnya.

Siasatan lanjut kes masih dijalankan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. — DayakDaily

Advertisement