Penunggang motosikal maut dirempuh kereta

Mangsa maut di tempat kejadian.

SIBU: Seorang penunggang motosikal terbunuh akibat kecederaan parah selepas dirempuh sebuah kereta di Batu 10 Jalan Tunku Abdul Rahman, di sini pagi tadi.

Difahamkan, mangsa iaitu Sepian Itam berusia 22 tahun di mana semasa kejadian dikatakan bergerak di lorong kiri sebelum dikatakan masuk ke lorong kanan secara tiba-tiba.

“Dipercayai mangsa menukar laluan ke sebelah kanan kerana ingin menyeberangi ke sebelah jalan.

“Bagaimanapun sebuah kereta yang datang dari arah yang sama dikatakan tidak sempat mengelak lalu merempuh mangsa menyebabkan dia tercampak dari atas motosikalnya,” kata sumber.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak DSP Bingkok John mengesahkan mangsa meninggal dunia di tempat kejadian.

“Penunggang motosikal maut di tempat kejadian dan kes kini masih dalam siasatan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.