Penunggang motosikal maut dalam kemalangan kendiri

Keadaan kemalangan di Jalan Murat, Ulu Skrang.

SRI AMAN, Feb 27: Seorang penunggang motosikal ditemui maut selepas dipercayai terbabas di Jalan Murat, Ulu Skrang di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 8.30 pagi itu, mangsa, Dan Ngumbang, 41, dari Rumah Mulok,Nanga Kujoh disahkan meninggal dunia di lokasi kemalangan akibat kecederaan parah pada anggota badannya.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Supt Alexson Naga Chabu berkata, mangsa ditemui oleh pengguna jalan raya yang kebetulan melalui jalan berkenaan.


Katanya, orang awam itu kemudian menghubungi pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

“Siasatan awal mendapati keadaan jalan di lokasi kemalangan adalah berselekoh.

“Mayat mangsa sudah dibawa ke Hospital Sri Aman untuk dibedah siasat,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Alexson menambah, siasatan lanjut mendapati tiada kenderaan lain terlibat dalam kemalangan tersebut.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya lagi. — DayakDaily