Lelaki lemas semasa jala ikan

Anggota bomba cuba melakukan bantuan kecemasan CPR ke atas mangsa.

LIMBANG, Feb 27: Nasib malang menimpa seorang lelaki apabila dia ditemui mati lemas selepas terjatuh ke dalam Sungai Limbang di Kampung Seberang Kedai di sini hari ini.

Mangsa, Rino Bawin, 23, ditemui pada pukul 6.27 petang selepas dikatakan terjatuh ke dalam sungai pada pukul 5.37 petang.

Penolong Pengarah Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak, Tiong Ling Hii berkata, mangsa yang dikatakan tidak pandai berenang dikatakan terjatuh ke dalam sungai ketika dia sedang menjala ikan dari tebing sungai berkenaan.


Menurutnya, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 5.37 petang.

“Sembilan anggota bomba diarahkan ke tempat kejadian dan kemudian bergegas ke lokasi untuk melakukan operasi mencari dan menyelamat mangsa.

“Penduduk kampung juga membantu pasukan bomba mencari mangsa dengan menggunakan kaedah jala serta pukat,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Tiong menambah, mayat mangsa dijumpai kira-kira dua meter dari lokasi dia dilaporkan terjatuh.

“Gerakan mencari dan menyelamat mangsa tamat pada pukul 6.30 petang,” katanya. ā€” DayakDaily