Penunggang motosikal maut dalam kemalangan di Miri

Keadaan motosikal mangsa selepas kemalangan tersebut.

MIRI, 12 Dis: Seorang penunggang motosikal maut selepas terlibat kemalangan di Jalan Pesisir Pantai berhampiran Simpang Bekenu malam Ahad.

Ketua Polis Daerah Miri ACP Alexson Naga Chabu berkata mangsa merupakan seorang lelaki berusia 51 tahun.

Katanya, mangsa semasa kejadian dikatakan telah berlanggar dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda (4wd) sekitar jam 10.40 malam.


“Siasatan awal mendapati kenderaan 4WD yang datang dari arah pusat bandaraya menghala ke Batu Niah telah berlanggar dengan motosikal mangsa yang keluar dari simpang jalan Kampung Jengalas menghala ke Miri,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, mangsa disahkan meninggal dunia akibat kecederaan parah.

Mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Miri untuk tindakan selanjutnya.

Manakala pemandu 4wd tidak mengalami sebarang kecederaan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. — DayakDaily