Penunggang motosikal maut dalam kemalangan di Kota Samarahan

Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

KOTA SAMARAHAN, 6 Mei: Seorang penunggang motosikal maut selepas terlibat dalam kemalangan kendiri di jalan raya berhadapan Sekolah Kebangsaan (A) Ibnu Khaldun, di sini hari ini.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak Supt Alexson Naga Chabu berkata mangsa berusia 21 tahun dan berasal dari Kampung Lot Baru, Tanjung Bundong.

Beliau memberitahu, mangsa semasa kejadian menunggang motosikal dari arah Kota Samarahan menuju ke Kampung Plaie iaitu sekitar jam 2.45 petang.


Bagaimanapun, dipercayai mangsa telah gagal mengawal motosikalnya lalu terbabas.

Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian selepas diperiksa anggota paramedik.

Mayat mangsa kemudian dibawa ke rumah mayat Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk tindakan selanjutnya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. — DayakDaily