Penunggang motosikal maut dalam kemalangan di Jalan Kuching-Serian

Keadaan motosikal yang terlibat dalam kemalangan tersebut.
Advertisement

KUCHING, 20 Feb: Seorang penunggang motosikal maut dalam kemalangan di Batu 16 Jalan Kuching-Serian awal pagi tadi.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkusaan Trafik Sarawak Supt Alexson Naga Chabu berkata kemalangan membabitkan sebuah motosikal dan kenderaan pacuan empat roda (4WD) dilaporkan berlaku pada jam 4 pagi.

Katanya, mangsa yang meninggal dunia dikenali sebagai Arnold Riga, 20, berasal dari Kampung Menjau, Batu 21 Jalan Kuching-Serian.

Advertisement

“Disyaki kemalangan berlaku apabila kenderaan 4wd bergerak lurus dari Serian menghala ke Kuching dan telah melanggar motosikal mangsa kerana mangsa dikatakan menukar lorong kanan ke kiri secara mengejut.

“Akibat kemalangan tersebut, kedua-dua kenderaan terlibat telah hilang kawalan lalu terjatuh ke dalam parit di bahu jalan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mangsa yang tercampak dari motosikalnya telah disahkan maut di tempat kejadian oleh anggota paramedik Hospital Umum Sarawak (HUS).

“Manakala pemandu 4wd yang turut mengalami kecederaan dikejarkan ke HUS untuk mendapatkan rawatan,” katanya.

Siasatan lanjut kes masih dijalankan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. — DayakDaily

Advertisement