Penunggang motosikal maut dalam kemalangan di Asajaya

Keadaan MPV tersebut yang remuk di bahagian tepi selepas kemalangan.

Oleh Juetila Ozzy

ASAJAYA,21 Mei: Seorang lelaki disahkan meninggal dunia ketika sedang dirawat di Klinik Asajaya, di sini hari ini.

Mangsa dikenali sebagai Saruji Manggang yang berusia 59 tahun dan berasal dari Kampung Asajaya Laut dikejarkan ke klinik berkenaan selepas terlibat kemalangan di Kilometer 15 Jalan Kota Samarahan-Sadong Jaya.

Difahamkan mangsa ketika kejadian menunggang motosikal menuju ke arah Asajaya sekitar jam 11 lagi.

Setiba di lokasi kejadian, mangsa dipercayai tidak sempat mengelak sebuah kereta jenis pelbagai guna (MPV) yang dikatakan membelok masuk ke satu simpang di sebelah kanan.

Susulan itu mangsa telah merempuh bahagian tepi iaitu pintu pemandu MPV tersebut sehingga menyebabkan mangsa parah di kepala.

Usaha menyelamat mangsa bagaimanapun tidak berjaya dan dia telah disahkan meninggal dunia semasa sedang dirawat.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak Supt Alexson Naga Chabu mengesahkan kejadian tersebut.

Mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk bedah siasat.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. — DayakDaily